Pada 15 Januari 1981, Perdana Menteri Jepun; Tuan Zenko Suzuki memulakan Lawatan Rasmi ke Malaysia selama tiga hari. Ketibaan tersebut disambut oleh Perdana Menteri Malaysia; Dato Hussein Onn dan Datin Suhailah di Lapangan Terbang Kuala Lumpur, Subang pagi harini. Lawatan Perdana Menteri tersebut disertai oleh isterinya; Puan Sachi Suzuki dan satu rombongan yang besar termasuk Menteri Luar Jepun; Tuan Masayodi Ito. Sebaik tiba di Subang, kedua-dua orang pemimpin itu dibawa ke Parlimen untuk majlis sambutan rasmi. Di Parlimen beliau menerima tabik hormat dari para pegawai dan 11 anggota Rejimen Askar Melayu DiRaja. Beliau membalasnya semula dan seterusnya memeriksa perbarisan kehormat pasukan rejimen askar itu. Turut hadir mengalu-alukan tetamu kerajaan itu adalah Timbalan Perdana Menteri Malaysia; Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad dan isteri Datin Seri Dr. Siti Hasmah, Menteri-Menteri Kabinet dan Ketua-Ketua Perwakilan Asing di Malaysia. Hari Kedua lawatan, Perdana Menteri Jepun itu menghadiri majlis menandantangani Perjanjian Bantuan Pinjaman Yen ke-7 antara Malaysia dan Jepun yang berjumlah RM210juta di Wisma Putra, Kuala Lumpur. Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Menteri Luar Malaysia; Tengku Ahmad Rithauddeen bersama Menteri Luar Jepun; Tuan Masayodi Ito. Di hari ketiga iaitu hari terakhir lawatan rasmi Perdana Menteri Jepun, beliau dan Perdana Menteri Malaysia bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dua hala dan memperbaharui hubungan persahabatan antara kedua-dua negara. Pernyataan bersama Malaysia-Jepun tersebut dikeluarkan adalah hasil daripada lawatan rasmi Perdana Menteri Jepun ke Malaysia.