Yayasan Nadwah Akademi Islam (NADI) telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia; Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 6 Februari 1988 di Pusat Islam. Tujuan penubuhan yayasan ini adalah penting untuk memberi penerangan secara menyeluruh tentang Islam demi menjamin keharmonian dan persefahaman dalam konteks masyarakat majmuk. Bagi memenuhi matlamat penubuhan yayasan, aktiviti keilmuan dan keislaman akan dijalankan dengan lebih giat. Dalam ucapan Perdana Menteri, beliau menyeru supaya ajaran Islam dihayati oleh seluruh umat Islam dalam menjalankan aktiviti harian mereka. Dengan penghayatan sedemikian, kemajuan dalam bidang ekonomi, politik dan pentadbiran akan dapat dipertingkatkan. Umat Islam juga diseru agar bekerjasama dengan semua golongan tanpa mengira bangsa dan agama. Pelancaran yayasan ini, memperlihatkan kerajaan sentiasa berusaha memelihara ajaran agama Islam agar terus dihayati dan menjadi amalan semua umat Islam di Malaysia.