Pada 5 Oktober 1981, Persidangan Sehari Menteri – Menteri Besar dan Ketua – Ketua Menteri telah berlangsung di Dewan Mesyuarat Majlis Perbadanan Petaling Jaya, Selangor. Persidangan tersebut dipengerusikan oleh Menteri Besar Johor iaitu; YAB Tan Sri Osman Mohd. Saad. Dalam persidangan tersebut, membincangkan beberapa perkara penting antaranya adalah; Meminta kerajaan pusat mengkaji semula syarat – syarat pemberian rumah berkonsep kondominium yang dibina diseluruh negara untuk memastikan ianya dinikmati oleh semua golongan rakyat. Kedua, merayu Kementerian Kewangan supaya mengkaji semula dasar, dengan meminta bank-bank memberi keutamaan kepada peminjam-peminjam yang melebihi RM 100,000. Ketiga, meminta kerajaan Pusat menentukan kadar-kadar royalti ke atas bijih keluaran negeri-negeri dari 10% sekarang kepada 20%. Seterusnya, meminta kerajaan menyusun semula laporan komputer untuk mengelakkan berlaku percanggahan maklumat antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat. Dengan berlangsungnya persidangan Menteri – Menteri Besar dan Ketua – Ketua Menteri ini diharapkan dapat menyelaraskan lagi hubungan antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat bagi memajukan negeri masing – masing di seluruh negara.