Golongan usahawan antara pemangkin yang membantu memacu ekonomi dan pembangunan sesebuah negara. Dari perspektif sejarah dan tradisi rantau nusantara seperti di Malaysia dan Brunei Darussalam, usahawan wanita turut sama berkebolehan membina empayar niaga dalam pelbagai bidang. Walaupun ramai yang menceburi perniagaan kecil-kecilan hasil tani, makanan, pakaian atau keperluan rumah, ada di antaranya yang mengorak langkah bersaing di pasaran lebih besar. Usahawan wanita masa kini berkebolehan untuk melakukan inovasi, mengurus sumber secara cekap, mengaplikasi kecanggihan teknologi terkini, membina rangkaian jaringan korporat dan mengembangkan pasaran eksport. Usahawan wanita yang dipaparkan ialah Che Nasiah Che Omar, 50 tahun, pengusaha batik lukis dan aksesori emas dan Rita Sarbani Ismail, 45 tahun, pemilik syarikat perkhidmatan pendidikan, pembinaan dan hartanah dari Malaysia. Manakala usahawan wanita Brunei menampilkan Wan Krisnizaha Haji Osman, 33 tahun, usahawan produk mother soya dan Hajah Norhana Haji Abdullah, 47 tahun, pengusaha jubin dan pemilik syarikat pembinaan. Mereka berempat berupaya menyuntik motivasi kepada khalayak penonton menerusi kisah cabaran memulakan perniagaan, bantuan dan galakan daripada agensi kerajaan, strategi perniagaan dan pemasaran, jatuh bangun dalam perniagaan, usaha menjengah pasaran baru, inovasi yang diketengahkan serta visi masing-masing dalam meneruskan penguasaan pasaran produk atau perkhidmatan yang diusahakan dan legasi kepimpinan perniagaan. Mereka wira di medan niaga yang mampu bersaing di peringkat global.